Selasa, 13 Disember 2011

Kawanku Idris

Idris merupakan kawan baik saya. Senang atau susah, dia sentiasa ada disana. Walaupun hanya N17 (grad pekerja kerajaan), sekurang-kurangnya dia akan ada untuk mendengar dan berkongsi-kongsi masalah dengan saya. Seorang lelaki segak bergaya, berhidung mancung, berat menyamai saya 68kg dan tinggi yang hampir sama iaitu 162 cm, berumur 37 tahun. Berketurunan kagayan tapi fasih berbahasa bajau pantai timur dan suluk. Kami seringkali berborak menggunakan bahasa bercampur baur Melayu dan Bajau agar orang sekeliling tidak faham mesej kami.


Seorang yang macho, pandai berjenaka, bermain kata-kata manis, berani dan keyakinan yang cukup tinggi. Langkah penuh gaya dengan mendongak umpama melihat sesuatu yang jauh dihadapan dengan kerutan dahi ala Marlon Brando. Sekarang beliau merupakan idaman setiap perempuan yang ada di sekelilingnya. Malangnya beliau telah mempunyai seorang isteri dan seorang bayi kecil. Tetapi masih bertuah kerana Idris berstatus ‘Bujang Tiga’. Hahaha...



Tetapi kalau ditanya, Idris semasa tahun 2006 dahulu umpama langit dengan bumi berbanding dengan Idris 2009 – 2011. Dulu dia merupakan seorang budak hingusan yang tua. Bilamana ada perempuan yang berpakaian cantik, muka menoleh tempat lain tetapi mata melirik, menjeling ke arah perempuan tersebut. Setiap kali ingat perkara tersebut membuatkan saya rasa nak tergelak terbahak-bahak. Langsung tidak pandai melayan mana-mana perempuan seadanya. Bak kata pepatah yang selalu keluar dari mulut saya ‘Perempuan sanggup lagi tak kahwin sampai mati daripada memilih seorang lelaki yang terhegeh-hegeh (dalam Inggeris dipanggil NERD)’




Sehingga pada suatu hari

‘Utok’.....(Bro dalam bahasa inggeris, Abang dari segi istilah bahasa, dalam penggunaan biasa, istilah terdekat adalah ‘Sahabat’....Bahasa orang-orang Suluk Bajau)

‘Apa benda yang kalau kita bercerita dengan perempuan, perempuan akan terpikat dengan kita?’ (Ayat permulaan saya menjadi coach Idris untuk mengeluarkan lelaki macho dalam dirinya)

‘Saya pelik, kalau kau (merujuk diri penulis) bercerita dengan sesiapa, terutama perempuan, macam boleh pergi jauh, tapi kalau saya pula, memang terhenti di tengah jalan!’

Sambil merenung jauh ke arah kaki langit di waktu mendung, disulam dengan gugurnya daun-daun. Pada waktu petang di sekitar Bukit Mahkamah Kuala Lumpur, saya berfikir dalam....... lalu menjawab.



‘Utok.....’ sambil menghela nafas panjang selama 3 saat.


‘Kau pernah kah melihat saya bercerita dan berborak dengan mana-mana perempuan?’

‘Selalu’....Balas Idris

‘Apa yang kami borak?....’ merangsang Idris untuk berfikir

‘Macam-macam, tapi semua benda yang tidak masuk akal dan langsung tidak logik! Kau bercerita tentang cuaca semalam, daun banyak berguguran, ada kes perompak merompak ditengah jalan, cerita pasal mop, kasut tertanggal 1 manik, minta belanja minum air dan banyak lagi benda mengarut yang langsung saya tidak faham!’ Idris menerangkan kekusutannya merungkai permasalahan tersebut.

‘Hah itulah dia....!!! tidak perlu kau berfikir panjang ‘apa yang perlu diceritakan’ kepada mana-mana perempuan agar mereka menyukai kau. Cukuplah dengan bercerita tentang apa jua yang ada di sekeliling kau. Apa jua yang terdetik di fikiran kau pada ketika itu!’ Saya memberi penegasan.

‘Bukan ‘ayat’ tetapi ‘bagaimana kau handle setiap jawapan yang dia berikan’

‘Bukan sebab ayat power...tetapi bagaimana kau melayan setiap perempuan seadanya dengan penuh keyakinan!’ Sambungku.

Dari situlah bermulanya pertukaran mendadak Idris dari lelaki NERD kepada lelaki IDAMAN.



Persoalan

Eh bukankah ini blog CATUR?...apa kena mengena CATUR dengan Idris?

Ini cukup senang.

‘Bukan apakah Opening yang Terbaik...Tetapi bagaimana kita handle Middlegame dan paling penting Ending untuk setiap opening yang ada!!!’

‘Hakikatnya....bukan Sicilian Scheveningen, Queen Indian ataupun King Indian Defense yang terbaik, tetapi bagaimana kita handle Middlegame dan Ending untuk setiap opening tersebut!’

Kalau anda telah cukup mahir dengan Stonewall Formation, mengapa perlu anda bertukar ke opening lain, semata-mata untuk ‘mengalahkan’ lawan anda. Menang kalah setiap opening adalah perkara biasa. Tetapi bilamana anda meninggalkan opening kegemaran anda, automatik anda telah ‘turn off’ menutup ‘komputer catur’ anda selama ini!!!

GM Kotov menerangkan, hanya selepas anda mencapai tahap Master barulah digalakkan untuk mengubah repertoire opening anda kepada lain. Untuk amatur, adalah baik untuk jangka masa panjang ‘melekat’ kepada satu-satu jenis opening sahaja.

GM Spassky ‘Catur umpama Kehidupan’

Jadilah macam Idris 2011, bukannya ‘ayat power’ tetapi bagaimana kita ‘melayan’ 'mereka'!!!

Tiada ulasan: